Bentuk Penderaan Terhadap Wanita

5:45 PM





Wanita sering ditindas serta selalu menjadi mangsa keganasan. Mungkin kerana sifat mereka yang lemah lembut maka golongan ini sering dijadikan alat untuk melepaskan geram atau hawa nafsu. Keadaan ini menyebabkan ramai wanita menderita. Disebabkan sikap segelintir daripada golongan yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita ini membantutkan usaha untuk mencapai tahap kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang lebih baik.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Women´s Aid Organisation dan Survey Research Malaysia (WAO/SRM) pada tahun 1992, mendapati bahawa sebanyak 39 peratus daripada wanita di negara kita telah menjadi mangsa keganasan. Angka ini meningkat pada tahun 1995 kerana berdasarkan laporan polis sebanyak 1409 kes keganasan terhadap wanita telah dilaporkan. Angka ini terus meningkat kepada 5477 dengan kenaikkan sebanyak 388 peratus, pada tahun 1997 walaupun Akta Keganasan Rumahtangga telah dikuatkuasakan sepenuhnya.

Apakah keganasan terhadap wanita? Berdasarkan Deklarasi Mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita oleh PBB pada 1993, keganasan terhadap wanita ditakrifkan sebagai sebarang bentuk keganasan berasaskan gender yang mendatangkan kesan atau boleh memberi kesan kerosakan atau penderitaan secara fizikal, seksual atau mental.

Women´s Aid Organisation memberikan tafsiran keganasan terhadap wanita dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan lelaki. Keganasan terhadap wanita ini meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya.

Ia termasuk ancaman seperti tindakan, paksaan atau perlucutan kebebasan dengan sewenang-wenangnya, sama ada berlaku dalam kalangan khalayak atau dalam kehidupan persendirian seseorang. Keganasan yang dimaksudkan itu juga merangkumi seksual dan psikologi, termasuk memukul atau melakukan kekerasan dan penderaan seks yang dilakukan terhadap kanak-kanak. Bukan setakat itu saja, ia juga membabitkan keganasan bukan dilakukan oleh pasangan suami isteri, eksploitasi, ancaman di tempat kerja dan di institusi pendidikan.


Kategori utama keganasan dan penderaan terhadap wanita meliputi:

Bentuk Penderaan Terhadap Wanita

1. Penderaan Psikologi dan Emosi - Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita yang meninggalkan kesan buruk sama seperti kecederaan fizikal kerana membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau untuk mengawal kehidupan sendiri.

2. Penderaan Fizikal - Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata adalah antara contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang untuk mendapat keperluan asas seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah termasuk dalam bentuk penderaan fizikal.

3. Penderaan Seksual – Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan juga dikategorikan sebagai penderaan seksual.


4. Penderaan Sosial – Penderaan bentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar.


5. Penderaan Kewangan – Seseorang wanita yang dihalang daripada mencari pekerjaan dan tidak dibenarkan membuka akuan bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Malah tidak dibenarkan mengawal wang mereka dan wang yang diperolehi akan dikawal oleh orang lain serta terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan keperluan asas.

Bentuk Keganasan Terhadap Wanita

1. Gangguan Seksual
Terbahagi kepada gangguan bentuk lisan – teguran, komen, berjenaka, mengusik, membuat bunyi, dan perkataan yang kurang menyenangkan; bentuk isyarat – menjelir lidah, menjilat bibir, memegang serta memakan makanan secara provokatif, isyarat tangan atau bahasa yang berbentuk lucah; bentuk visual – menunjukkan material pronografi, melukis lakaran atau tulisan berdasarkan seksual, mempamerkan sesuatu berbentuk seksual; betuk ganguan psikologikal – undangan sosial yang tidak disenangi, diingini, kekerapan mengajak untuk mengadakan temujanji dan intimasi fizikal dan bentuk fizikal – sentuhan, tepukan, cubitan, urutan, geselan tubuh badan yang tidak bersesuaian, pelukan, ciuman, meraba dan gangguan seksual.

2. Perkosaan dan Keganasan Seksual
Dari segi perundangan, definisi ´perkosaan´ atau ´rogol´ hanya terhad kepada perbuatan memasukkan kemaluan lelaki ke dalam kemaluan wanita secara paksa, tanpa kemahuan wanita tersebut. Jika seseorang wanita itu berumur di bawah 16 tahun, aktiviti seksual dengan atau tanpa kebenaran wanita tersebut adalah diklasifikasikan sebagai perkosaan menurut undang-undang. Keganasan seksual ini juga termasuk pelakuan secara paksa, memasukkan objek ke dalam kemaluan, mulut atau dubur wanita.

3. Keganasan Rumah Tangga
Keganasan seperti ini pada asasnya merupakan suatu bentuk penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku apabila seorang pasangan (lazimnya lelaki) cuba untuk mengawal atau mendominasi pasangannya. Antara contohnya ialah penderaan fizikal, memaksa wanita memutuskan hubungan dengan keluarga dan saudara mara serta kawan-kawan, memaksa wanita memberitahu setiap gerak gerinya dan sebagainya.

Kesimpulannya, pihak kerajaan memandang serius isu ini dengan mengambil pelbagai langkah sebagai usaha mencegah dan mengatasi masalah ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program-program kesedaran serta pengukuhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran kaum wanita terhadap hak dan kepentingan diri sendiri, seterusnya menguasai pengetahuan yang membolehkan wanita mengatasi rintangan, melindungi diri serta mengembangkan skop kehidupan mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat menggerakkan semua ahli masyarakat terutama wanita agar turut menyumbang tenaga serta idea kepada usaha untuk membanterasnya.

Bahagian Bimbingan dan Kaunseling diwujudkan bertujuan untuk membantu wanita yang menghadapi pelbagai masalah termasuk menentang sebarang bentuk keganasan.

Segala aduan mangsa keganasan akan disalurkan kepada jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Biro Bantuan Guaman dan Polis Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Apakah yang boleh anda lakukan? 

- Mempuyai ilmu dan pengetahuan yang luas mengenai keganasan terhadap wanita melalui bacaan atau menyertai kumpulan tertentu yang memperjuangkan nasib wanita.

- Menyokong kempen kerajaan untuk menggubal undang-undang yang efektif bagi mengatasi keganasan terhadap wanita.

- Memberi khidmat dan bantuan sebagai sukarelawan dengan menyumbang tenaga dan masa anda di pusat krisis.

- Lelaki perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap wanita. Mulakan dengan wanita di sekeliling kamu - ibu anda, adik, kakak, kawan atau rakan sekerja. Jangan membuat jenaka yang menjatuhkan maruah wanita terutamanya terhadap mangsa rogol.

- Menanam nilai kemanusiaan tanpa keganasan dalam kehidupan seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin dan ia tidak bergantung pada "gender".

- Lelaki dan wanita harus belajar menghormati antara satu sama lain dan tidak memainkan peranan dominan dan taat yang membuta tuli. 

You Might Also Like

0 ulasan

SUBSCRIBE

Like us on Facebook